Siaran Media, Terbitan Media

Idea Pesara boleh bantu jayakan TN50

Oleh : Aliff Ashraf Fadzilah
bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Pengalaman pesara ketika berkhidmat sebagai penjawat awam boleh dimanfaatkan bagi membantu mencapai objektif gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pesara dianggap aset penting bagi mencapai aspirasi TN50 khususnya bagi membantu golongan muda menerusi pengalaman dan kepakaran masing-masing.

“Golongan pesara adalah aset penting yang akan dikumpulkan serta dimasukkan ke dalam kerangka perdana TN50 seperti dipersetujui Perdana Menteri.

“Golongan ini dapat membantu generasi muda memajukan negara dalam bidang masing-masing terutama dalam bidang pendidikan,” katanya dalam sidang media pada penutup Forum TN50 (Pesara) anjuran Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia (YPKM) di sini, hari ini.

Forum setengah hari itu menyaksikan pembentangan Kertas TN50 (Pesara) oleh Pemegang Amanah YPKM, Tan Sri Sulaiman Mahbob disusuli perbincangan serta input mereka yang hadir.

Mahdzir berkata, golongan pesara akan dijemput menghadiri bengkel atau makmal anjuran kerajaan bagi menyumbangkan idea yang boleh dikongsi bersama generasi lebih muda.

“Kita akan menggunakan pandangan golongan pesara ini yang lebih berpengalaman dalam setiap program, makmal atau bengkel bagi mendapatkan hasil yang berkesan dalam sesuatu bidang dibincangkan,” katanya.

Mahdzir berkata beliau telah meneliti resolusi YPKM yang menyenaraikan 18 cadangan untuk diusulkan kepada Kabinet dalam masa terdekat.

“Resolusi ini akan lengkap setelah cadangan pesara dari Utara, Sabah dan Sarawak dikumpulkan sebelum dibawa kepada Kabinet,” katanya.

Antara cadangan yang disenaraikan kumpulan pesara ialah mewujudkan sebuah kompleks di Putrajaya yang menempatkan semua persatuan pesara peringkat nasional yang juga dilengkapi dengan hospital pesara bagi menjaga kebajikan golongan ini.

Sementara itu, Pengerusi YPKM, Tan Sri Dr Aseh Che Mat, berkata forum seperti itu akan diadakan di seluruh negara dalam usaha mengumpulkan pandangan. Beliau berkata resolusi forum akan diserahkan kepada Perdana Menteri untuk dimanfaatkan dalam TN50.

Petikan berita dari : https://www.bharian.com.my/node/278326

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *