Majlis

FORUM TRANSFORMASI NASIONAL 2050 (TN50)

RESOLUSI
FORUM TN50 PESARA KERAJAAN,
HOTEL ISTANA, KUALA LUMPUR, 2 MEI 2017,
ANJURAN
YAYASAN PESARA KERAJAAN MALAYSIA

  1. Halatuju transformasi Pesara Kerajaan adalah kearah melahirkan generasi Pesara Kerajaan yang bersatu padu, berintegriti, sihat, selesa, produktif, sejahtera dan bertaqwa.
  2. Penyatuan Pesara Kerajaan adalah tunggak utama untuk membina kebolehupayaan, kesejahteraan hidup dan kesetiaan kepada Kerajaan.
  3. Kajian semula pencen perlu dibuat sekali dengan semakan gaji perkhidmatan awam. Formula perkiraan pencen perlu ditambahbaik berasaskan kepada kadar yang melebihi keperluan, mengatasi garis kemiskinan dan pelarasan tahunan mengikut kadar kos hidup (consumer price index). Satu Jawatankuasa mengenai perkara ini akan ditubuhkan.
  4. Kerajaan diminta mengumumkan kenaikan pencen semasa Hari Pesara pada 19 Julai ini. Kerajaan juga diminta untuk menimbang bantuan kewangan kepada Pesara Kerajaan yang tidak mendapat pencen atau mendapat pencen yang rendah termasuk daripada pesara badan berkanun.
  5. Menyedia daftar pesara secara ‘on – line’ dan pembangunan sistem maklumat pesara yang berintegriti, komprehensif serta dinamik.
  6. Mengujudkan skim tabungan Pesara Kerajaan bagi menghadapi kenaikan kos hidup dalam negara yang berpendapatan tinggi.
  7. Kesihatan Pesara Kerajaan merupakan keutamaan yang perlu dipertingkatkan bukan sahaja dari segi kualiti rawatan diperingkat pencegahan, rawatan dan pemulihan, bahkan layanan dan perkhidmatan yang lebih selesa, cekap, mudah serta tidak membebankan. Cadangan menubuhkan hospital pesara Kerajaan dan mengadakan insuran kesihatan perlu dipertimbangkan oleh Kerajaan.
  8. Dasar kebajikan sosial Pesara Kerajaan yang lebih mantap perlu digubal supaya lebih menyeluruh, menepati kehendak dan terasa keberkesanannya termasuk kuota menunaikan Haji, pemberian subsidi kepada yang kurang berkemampuan, bantuan kewangan kepada yang mengalami sakit kronik serta meningkatkan bantuan kepada yang ditimpa musibah dan bencana alam.
  9. Dasar gunatenaga negara perlu dikaji semula supaya berasaskan kepada kemahiran dan kecekapan serta penguasaan sains dan teknologi, bukannya umur bagi membuka peluang kepada Pesara Kerajaan yang mampu bekerja sepanjang hayat.
  10. Program untuk mengambil Pesara Kerajaan bekerja semula perlu dimantap dan diperluaskan bukan sahaja dalam jentera pentadbiran Kerajaan diperingkat antarabangsa, pusat, negeri dan daerah, malah dalam sektor – sektor tertentu dimana Pesara Kerajaan boleh menggantikan pekerja asing. Satu Jawatankuasa mengenai perkara ini akan ditubuhkan.
  11. Pesara Kerajaan digalakkan belajar sepanjang hayat serta terlibat dalam perkongsian ilmu, penulisan dan khidmat konsultan bagi terus memberi sumbangan kepada Negara.
  12. Peranan institusi sosial dan masyarakat perlu digariskan dengan jelas untuk menjaga kepentingan Pesara Kerajaan dari segi ‘retirement village’, perumahan, pengangkutan, makanan, perubatan, insuran, tanggongjawab keluarga dan perundangan yang berkaitan.
  13. Keperluan untuk mempercepatkan pembangunan Menara Pesara Kerajaan sebagaimana telah dipersetujui Kerajaan di Putrajaya untuk ditempatkan persatuan – persatuan Pesara Kerajaan yang menjadi Ahli dibawah Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia. Menara tersebut dilengkapkan dengan Pusat Konvensyen, Hotel Pesara dan Hospital Pesara. Usaha yang sama perlu dibuat untuk membangunkan cawangan Menara Pesara diperingkat negeri. Pembangunan ini adalah dengan kerjasama Kumpulan Wang Persaraan (KWAP). Ini penting untuk memantapkan kebolehupayaan pengurusan, penyelarasan dan produktiviti Pesara Kerajaan serta memberi kemudahan dan memperkasakan penyatuan Pesara Kerajaan.
  14. Kepakaran dan pengalaman Pesara Kerajaan memberi sumbangan bermakna kepada pengisian TN50 kearah melahirkan Negara berstatus kelas pertama, bermertabat tinggi, taraf hidup berpendapatan tinggi tanpa perbezaan ekonomi antara kaum yang ketara, perpaduan nasional yang unggul dan kemakmuran negara yang berkekalan.        
      
  15. Penubuhan persatuan – persatuan Pesara Kerajaan professional seperti pesara doktor, arkitek, jurutera, akauntan dan sebagainya adalah perlu untuk memberi perkhidmatan profesional kepada Pesara Kerajaan mengikut bidang masing – masing.
  16. Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia akan meningkatkan kerjasama strategik dengan Kerajaan dan sektor swasta terpilih untuk menjana sumber ekonomi dan kewangan sendiri bagi membantu meningkatkan kebajikan dan kesejahteraan hidup Pesara Kerajaan dalam menghadapi persekitaran Negara yang berstatus kelas pertama, moden dan berpendapatan tinggi menjelang tahun 2050.
  17. Kerjasama Yayasan Pesara Kerajaan Malaysia dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) akan diperkasakan untuk meningkatkan kecekapan pembayaran pencen dan tuntutan faedah persaraan serta merangka inisiatif – inisiatif baru kearah menambahbaik perkhidmatan dan menyelesaikan masalah Pesara Kerajaan.
  18. Kerajaan diminta untuk memperkasakan Bahagian Pasca Perkhidmatan, JPA kepada Jabatan Pesara Kerajaan. Jabatan ini diberi tanggongjawab untuk menggubal semula dasar persaraan negara yang lebih komprehensif dengan mengambilkira resolusi – resolusi tersebut diatas terutamanya mengenai masalah bayaran pencen.

Hotel Istana, Kuala Lumpur

2 Mei 2017

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *